Translate

Friday, July 5, 2013

Kamera pertama dan termahal dunia


KETIKA  menjejakkan kaki di Muzium Kamera JCII di Ichiban-cho, Chiyoda-ku, Tokyo, Jepun baru-baru ini, hal pertama yang terlintas di fikiran saya adalah untuk melihat secara dekat kamera pertama dunia yang dikeluarkan secara komersial iaitu Giroux Daguerreotype yang dipamerkan di sini.

Saya ingin berkongsi dengan pembaca mengenai kamera unik tersebut yang dikeluarkan pada 19 Ogos 1839 di Paris oleh Louis Jacques Mande Daguerre dalam jumlah yang terhad dan diedarkan oleh Georg Gropius, Berlin.

Giroux Daguerreotype diperbuat daripada dua kotak kayu yang bermutu tinggi. Kotak di hadapan besar sedikit daripada sebelah belakang tetapi ia begitu rapat sehingga tiada cahaya dapat menembusi ruangan antara dua kotak tersebut.

Lensanya pula diperbuat daripada protrusions kanta tembaga sepanjang 15 inci. Plate yang bertindak sebagai filem akan diletakkan di kotak belakang dan sekali dedahan pengambaran mengambil masa sehingga 30 minit bagi cahaya normal.

Bagaimanapun keseluruhan proses mengambil gambar dan mencetak gambar secara terperinci disediakan dalam sebuah buku khas setebal 24 muka surat.
Selain itu, keunikan kamera ini juga adalah terdapat tandatangan Daguerre di atas sekeping plate tembaga putih pada sisi kiri.

Namun begitu, Giroux Daguerreotype tidak mempunyai apa-apa ciri-ciri teknologi terkini dan maju seperti mana kamera moden hari ini, tetapi harganya dinilai berdasarkan keindahan, keaslian dan zaman pembuatannya.

Kamera tersebut pernah dinilaikan sehingga mencecah 700 ribu euro dalam satu lelongan di Vienna. Tetapi tiada rekod yang menyebut siapa yang berjaya dalam lelongan tersebut.




No comments: